2/26/2009

dahulu sekarang??

Mataku terbuka.

Tubuhku terasa sakit-sakit. Aku cuba bangkit dari pembaringan. Kedua belah tanganku menolak bumi agar tubuhku dapat ditegakkan. Kiri kanan aku memandang. Dadaku berdegup kencang.

Rumahku telah tiada!

Dan kini aku mendapati diriku berada di sebuah tanah lapang yang kering kontang, bersama tanah yang merekah.

Di manakah aku?

Pantas istighfar berlari pada bibir. Apa yang telah berlaku sebenarnya?

Aku memandang langit, cuba mencari makna yang tersembunyi dalam peristiwa ini. Namun tidak kujumpai, sesungguhnya aku hanyalah hamba ALLAH yang biasa, langsung tidak mengetahui apa yang sedang dilakukan olehNya.

Adakah ini satu ujian? Atau sebenarnya aku masih bermimpi?

Aku bangun. Sakit-sakit pada tubuhku tidak kuendahkan. Aku memandang jauh. Kelihatan ada seperti ada perkampungan pada arah selatan. Namun yang membuatkan aku takjub, bangunannya kelihatan tinggi-tinggi. Sepanjang umur hayatku, belum pernah kulihat bangunan sedemikian rupa.

Tiba-tiba hatiku dihinggap gerun.

Penghujung hadith Jibril datang kepadaku,

“ Beritahu kepadaku mengenai as-sa’ah(kedatangan kiamat)”

“ Yang ditanya tidak mengetahui lebih dari yang bertanya”

“ Maka ceritakan mengenai tanda-tandanya”

“ Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya, dan bila kamu melihat manusia berlumba-lumba membina bangunan tinggi”

Mataku membesar.

Kutoleh ke arah langit semula. Waktu subuh nampaknya hampir berakhir, justeru aku perlu segera mengorak langkah ke arah perkampungan berbangunan tinggi itu. Jika tidak subuh akan luput, maka berdosalah aku kerana meninggalkan subuh dengan sengaja.

Langkah kukorak, dengan zikir yang tidak melepas.

**********

Mataku tidak berkedip, dan hatiku resah galau.

Aku takjub dengan ketinggian bangunan yang kulihat dari jauh pagi tadi. Rupanya bila berdiri lebih dekat, bangunannya nyata terlalu tinggi, hingga sakit leherku mendongak. Namun hatiku resah dan galau, sepanjang pencarianku tadi, tidak kutemu walau sebuah masjid.

Mungkin aku orang baru di sini, justeru tidak kuketahui di mana letaknya masjid. Tetapi apabila aku bertanya kepada orang yang kujumpai, jawapannya adalah,

“ Masjid? Masjid tu apa?”

Hatiku ibarat disiat-siat bila mendengar pertanyaan sedemikian. Masjid, rumah ALLAH SWT tidak diketahui? Masyarakat apakah ini? Maka tadi aku terpaksa melakukan solat subuh di atas tanah berbatu.

Bentuk muka bumi di sini juga pelik. Tiada tanah. Semuanya batu hitam dan kelabu. Di beberapa tempat, kelihatan seperti ada petak-petak yang banyak, dan di beberapa tempat yang lain, terdapat garis-garis pelbagai warna.

Aku juga tidak perasan akan kehadiran kuda-kuda, atau unta, atau keldai tertambat pada bangunan-bangunan tinggi di sini. Yang aku lihat hanyalah besi-besi besar yang mempunyai pelbagai bentuk dan berwarna menarik tersadai di tepi-tepi jalan.

Aku sebenarnya berada di mana? Suasana di sini nyata jauh berbeza dari keadaan di rumahku.

Dan persoalan yang lebih penting, bagaimana aku boleh berada di sini?

Sekarang, apa yang patut aku lakukan?

*********

Aku terbatuk-batuk. Dadaku rasa sempit. Debu tebal memenuhi ruang. Mataku jadi pedih.

Besi-besi besar penuh berbaris sambil mengeluarkan pelbagai bunyi. Dari besi-besi itu keluar pelabagi jenis asap. Ada asap nipis, ada pula asap tebal. Ada yang berwarna putih, dan ada pula yang berwarna hitam. Kelihatan setiap besi itu mempunyai seorang, atau dua orang manusia di dalamnya. Roda hitam pada bawah besi-besi itu nyata membolehkannya bergerak. Tetapi yang ajaibnya, ia bergerak tanpa ditolak.

Aku kagum, tetapi mataku pedih, dan telingku bingit dengan bunyi-bunyi yang dikeluarkan oleh besi-besi itu. Aku masih termanggu-manggu sebenarnya. Berada di tengah-tengah tempat asing sebegini, dengan suasanya jauh dari kebiasaan suasanaku, membuatkan aku jadi tidak tahu hendak melakukan apa.

Zikir terus menari seiring langkahanku.

Tiba-tiba aku terasa bajuku ditarik.

“ Encik.. bagi saya duit. Bagi saya duit”

Mataku terbeliak. Melihat seorang lelaki miskin, dengan tubuh yang teramat kurus mengemis. Kemudian baru kuperasan yang dia tidak berseorangan, jalan ini penuh dengan pengemis di sana sini.

Apa yang sudah terjadi? Bangunan tinggi-tinggi tetapi banyak pengemis? Sepanjang kehidupanku, tiada orang fakir miskin, khalifah telah memberikan semua orang haknya, sehinggakan tiada lagi orang fakir dan harta baitul mal melimpah ruah. Walaupun tempat hidupku tiada bangunan tinggi-tinggi seperti tempat ini, mahupun besi-besi yang boleh bergerak tanpa ditolak, tempat hidupku tiada pengemis seperti di sini.

“ Maafkan saya, saya hanya ada ini sahaja” Aku mengeluarkan 5 dirham yang berada di dalam karung, kemudian kuletakkan duit itu pada tangannya.

Pengemis itu memandang duitku itu dengan mata membulat.

“ Kau bagi aku apa ini?” Dia memandangku dengan amarah.

“ Duit. Bukankah kamu memerlukan wang?”

Lelaki itu terus menolak aku dengan kasar. Aku jatuh tersungkur. Terkejut aku dengan tindakannya. Aku memandang lelaki pengemis itu.

“ Kenapa? Apa salah saya?”

Lelaki itu menunjukkan duit yang kuberikan. “ Ini! Ini bukan duit! Kau nak tipu aku ya! Ini kalau bagi kat kedai mana laku!” Kemudian lelaki itu mencampakkan lima dirhamku itu kepadaku semula.

“ Celaka, ingat pengemis bodoh ke?” Lelaki itu menyumpah sebelum pergi meninggalkan aku.

Aku mengutip semula lima dirham.

“ Ini bukan duit?”

Aku hairan. Walaupun aku tahu yang lima dirham itu nilainya kecil, tetapi aku yakin lima dirham tetap wang, dan seseorang itu boleh membeli sepotong roti bakar bersalut madu dengan duit sebanyak ini.

Atau...

Tempat ini tidak menggunakan duit sebegini?

Tetapi mustahil, semua duit yang mempunyai cop khalifah boleh digunakan di semua jajahan ISLAM tanpa masalah.

Jika demikian, maka ini tempat apa?

Aku termanggu-manggu sendiri.

**********

Mataku sakit. Istighfar menjadi teman setia. Aku tambah hairan dengan tempat yang aku kunjungi ini.

Kenapa aku dapat melihat perempuan di merata tempat? Tambahan, kebanyakan mereka tidak segan silu berpegangan tangan bersama lelaki secara terang-terangan. Lebih mengejutkan aku, kebanyakan mereka tidak berhijab, bahkan kalau yang berhijab pun, berbaju ketat atau berhias berlebihan.

Aku mengurut dada sambil beristighfar. Sudahlah penat kakiku melangkah tanpa tujuan, tambah memenatkan aku apabila melihat ummat yang sebegini rupanya.

Kali pertama aku melihat keadaan sebegini. Amat menyayat hatiku. Apakah yang telah berlaku sebenarnya?

Tadi aku cuba menegur beberapa muda-mudi yang seronok berpegangan tangan, yang lalu di hadapanku.

“ Saudara, saudari, takutlah kamu kepada ALLAH. Sesungguhnya ini adalah perbuatan yang dimurkai oleh ALLAH SWT”

Aku berhajat membacakan kepada mereka ayat di dalam Surah An-nur yang menunjukkan arahan supaya lelaki dan perempuan menundukkan pandangan, dan perempuan tidak boleh mendedahkan aurat kepada yang bukan mahramnya, tetapi belum sempat ayat dari surah itu kubacakan, aku telah ditumbuk terlebih dahulu oleh si lelaki.

“ Hei orang asing. Kau jangan nak berceramah pula di sini” Aku pula yang diherdiknya.

Hatiku sakit. Bukan sakit dengan tumbukan lelaki itu mahupun membencinya. Sakit dengan apa yang terjadi kepada seluruh masyarakat di sini. Mereka tidak mempunyai sensitivitikah dalam menjaga arahan ALLAH SWT?

Di tempat hidupku, wujud penguasa yang menjaga syara’. Kalau berlaku perkara sebegini secara terang-terangan, maka mereka akan dibicarakan dan diadili atas hukum ALLAH SWT. Ingat memperingati menjadi tradisi dalam kehidupan masyarakatku. Segala nasihat didengar dan dimuliakan. Pemberi nasihat turut dikasihi dan diutamakan. Langsung tiada tindakan kurang ajar sedemikian rupa.

Apakah yang telah berlaku sekarang?

Tempat apakah ini?

********

Aku melalui satu lorong. Lorong ini terletak di dalam salah sebuah bangunan besar di sini dan lorong ini penuh dengan manusia di dalamya. Lebih menakjubkan, lorong ini mempunyai banyak kedai yang menjual pelbagai benda. Lebih menakjubkan aku, ada tangga yang aneh di sini, yang bergerak membawa manusia ke atas dengan sendirinya.

Aku benar-benar telah berada di satu kawasan yang teramat asing. Semuanya di sini tidak terjangka dengan akalku. Termasuklah keadaan masyarakatnya.

Di dalam kawasan ini, keadaan masyarakatnya lebih menyesakkan hati. Lelaki dan perempuan bercampur sekaan-akan itu adalah perkara yang biasa, dan tidak mengundang kemurkaan ALLAH. Aku nampak ramai remaja yang melepak di semua sudut tempat ini, yang perempuan berpakaian ketatnya tidak menutup aurat, yang lelaki pula berperawakan aneh, dengan rambut pelbagai warna, bersama subang, gelang dan pelbagai rantai, tidak ubah seperti perhiasan perempuan. Dan seperti di luar sana, lelaki perempuan di dalam bangunan ini berpacaran tanpa ada rasa segan silu sesama mereka.

Tiba-tiba telingaku menangkap satu bunyi yang biasaku dengari.

ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR!

Hatiku rasa lapang. Tak sangka, aku dapat mendengar laungan itu di tempat sebegini rupa. Pastinya, bila adanya laungan azan, pasti wujudnya masjid berdekatan.

Aku mengucapkan alhamdulillah berkali-kali. Di rumah ALLAH, pastinya aku akan merasa lebih selamat dan terjaga. Aku pun melangkah. Tetapi baru beberapa tapak, aku berhenti.

Aku memandang sekeliling dengan rasa hairan.

Semua orang di lorong ini masih tidak bergerak, seakan-akan laungan azan itu tidak kedengaran. Semua masih dengan keadaan mereka tadi.

Kenapa semua orang tidak bergerak?

Adakah mereka tidak melaksanakan solat?

“ Wahai manusia, marilah kita pergi ke rumah ALLAH dan melaksanakan solat. Rasulullah SAW bersabda, barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia telah kafir dengan nyatanya” Aku melaung, memberikan peringatan, kemungkinan mereka lupa.

Semua mata di situ memandang kepadaku. Semuanya dengan pandangan yang tidak menyenangkan. Aku menjadi hairan. Apakah aku telah salah cakap?

Tiba-tiba sebuah kotak berair dibaling kepadaku. Aku mengelak. Datang lagi beberapa benda melayang kepadaku. Aku mengelak lagi.

“ Kenapa?” Aku menjerit terkejut. Hairan dibaling semikian rupa.

“ Hei, kau jangan sibuk hal orang lain. Kubur lain-lain!” Salah seorang dari orang ramai bersuara.

Jantungku seperti mahu luluh apabila mendengar bicara yang sedemikian.

“ Blah la wei! Jangan nak jadi alim! Kalau kau nak pergi masjid sangat, pergi la sendiri!” Seorang lagi menjerit.

“ Jangan sibuk hal orang!”

“ Pergi!”

“ Pergi mampus!”

“ Menyusahkan!”

Semua caci maki hinggap kepadaku. Berbanding dibaling benda, dilontarkan cacian kerana mengajak manusia mengamalkan ISLAM lebih melukakan diriku.

Apa yang telah berlaku sebenarnya?

Kalau di tempatku, jangan kata orang ramai, hatta pekedai pun akan meninggalkan kedai-kedai mereka untuk memenuhi seruan solat. Malah akan ada polis yang datang memperingatkan semua orang untuk pergi menunaikan solat. Seruan menunaikan perintah ALLAH SWT itu dipenuhi dan diutamakan. Hal ini kerana, kami semua dididik bahawa solat adalah tiang ISLAM, dan tiang ISLAM itulah yang pertama ditanya. Kalau rosak solat kita, maka yang lain tidak akan ditanya.

Tetapi apakah yang terjadi kepada masyarakat di hadapan mataku ini?

Mereka tidak merasakan kepentingan solat kah?

Aku terus bergerak, mencari arah datangnya laungan azan tadi.

Harapnya, di rumah ALLAH SWT, aku akan mendapatkan ketenangan.



********

Aku menangis sepuas-puas hati. Tempat sujudku basah. Bila kuangkat kepalaku, dan duduk tahiyyat akhir, bahuku terhinggut-hinggut kerana aku tidak dapat menahan sedih.

Ya ALLAH.. apakah yang telah berlaku?

Soalan itu berulang berkali-kali dalam benak pemikiranku.

Masjid ini terlalu besar, dan amat indah. Lebih indah dari masjid di tempat kehidupanku. Tetapi...

Tetapi ketika ini, yang melaksanakan solat zuhur di sini hanya dua orang sahaja. Aku, dan bilal yang melaungkan azan tadi.

Hatiku terkoyak dengan keadaan ini. Di manakah masyarakat muslim di sini? Apakah yang berada di sini semuanya tidak beriman kepada ALLAH SWT? Apakah tiada muslim di sini? Jika benar, kenapakah penguasa di tempat ini membina masjid seindah dan sebesar ini?

Aku memalingkan wajah ke kanan, lalu kulontarkan salam, kemudian wajahku kugerakkan ke kiri, kemudian kulontarkan salam. Selepas itu, telapak tanganku kuraup ke wajah, sambil mengesat titisan air mata yang tak henti merembes sedari awal solat.

“ Tuan asal dari mana?” Selepas selesai berdoa, bilal yang menjadi satu-satunya makmumku bertanya lembut. Wajahnya bersih, seperti wajah-wajah manusia di tempat kehidupanku.

“ Saya berasal dari wilayah ISLAM bernama cordova” Aku menjawab lembut. Bilal itu nyata nampak baik.

“ Cor.. Cordova?” Bilal itu bersuara, matanya membesar.

“ Kenapa?” Aku bertanya hairan, apabila melihat dia terkejut sedemikian.

“ Tuan bergurau dengan sayakah? Bukankah Cordova telah lama tiada, dan sekarang ni diganti namanya dengan Andalusia? Jauhnya tuann berjalan” Bilal itu ketawa, mungkin dia menyangka bicaraku adalah gurauan semata-mata.

Aku hairan. Cordova telah tiada? Andalusia?

“ Mana.. Khalifah masih sihat dan suasana di sana masih terjaga. Semua rakyat hidup dengan kemakmuran dan penuh keimanan. Mana mungkin Cordova telah tiada”

“ Khalifah masih ada? Bukankah sistem khilafah ini telah jatuh pada tahun 1924 di tangan Kamal At-tarturk?”

Aku membesarkan mata. Khalifah telah tiada? Sistem khalifah telah dijatuhkan? 1924? Kamal At-Tarturk?

“ Adakah itu puncanya manusia bersikap seperti hari ini?” Aku bertanya.

Bilal tersenyum. “ Tiada lagi manusia yang hendak mengambil ISLAM sebagai cara hidup seperti hari ini wahai tuan. Candamu nyata sedikit menceriakan saya. Mengingatkan saya akan kegemilangan ISLAM dahulu kala”

“ Dahulu kala?” Aku mengangkat kening sebelah. Bagaimana boleh dikatakan zaman hidupku dahulu kala?

“ Tuan, dunia sekarang sudah berubah. Jahiliyyah telah berjaya membawa keluar perempuan-perempuan kita dari rumah, mereka telah berjaya memagarkan urusan agama hanya di masjid sahaja, dan mereka telah berjaya menjauhkan manusia dari ALLAH SWT. Dunia dan nafsu diutamakan pada zaman ini. Zaman ini bukanlah zaman kegemilangan ISLAM yang tuan katakan itu” Bilal itu menceritakan kepadaku.

Aku beristighfar. Apakah yang telah berlaku sekarang ini?

Maksudnya, aku sekarang sedang berada di masa hadapan?

Adakah ini masa hadapan yang akan berlaku?

Peristiwa Ashabul Kahfi berlaku kepadaku, atau ini hanya mimpi semata-mata?

“ Hari ini, manusia telah melupakan ALLAH wahai tuan. Manusia telah melupakan ALLAH, dan masjid terus sunyi dari manusia. Bilangan yang bersolat jumaat juga sudah semakin sedikit. Masing-masing telah lupa tanggungjawab berubudiyyah mereka kepada ALLAH SWT”

Air mataku merembes. “ Habis bilal, di manakah pendakwah-pendakwah yang hendak membawa agama ALLAH ini? Tak kan tidak wujud walau seorang?”

“ Mereka wujud, namun pergerakan mereka disekat oleh mereka yang tidak mahu melihat ISLAM ini berkembang menjadi sistem hidup kita.”

Air mataku tumpah. Wahai manusia, apakah yang kamu lakukan? Bangunan tinggi dan kemajuan bukanlah kemakmuran yang sebenarnya. Itu hanya tambahan sahaja. Yang penting adalah hubungan kamu dengan ALLAH, dan kehidupan kamu dalam perintahNya.... Apakah kamu lupa yang kamu hidup untuk kembali bertemu denganNya?

“ Tuan, nampaknya tuan orang yang baik. Tuan hendak ke mana sebenarnya?”

Aku memandang Bilal yang berwajah bersih itu. “ Saya sebenarnya tidak tahu ke mana arah yang perlu saya tuju. Saya baru di tempat ini”

Bilal itu menggaris senyum. “ Kalau begitu, apa kata tuan bermalam di rumah saya?”

Hatiku terubat sedikit. Masih ada rupanya manusia yang baik hati, di tempat ini.

“ Terima kasih. Saya terima jemputan kamu itu.”

********

Aku merehatkan tubuh atas tilam yang empuk. Agak selesa rumahnya, walaupun tidak sebesar mana. Namun, rumah bilal ini juga mempunyai banyak alat yang pelik. Ada satu alat tertampal di atas atap rumah, berputar mengeluarkan angin yang nyaman. Ada pula satu alat yang di dalamnya diletak segala sayuran. Ada pula satu kotak hitam, di dalamnya wujud manusia yang bercakap. Ada lagi alat yang tertampal di dinding dan boleh mengeluarkan cahaya.

“ Ini sudah abad ke 23 tuan. Tuan datang dari perkampungan mana?” Dia bertanya kepadaku, bila aku menyuarakan rasa takjub kepada semua alat pelik yang kujumpai itu.

Abad 23? Seingatku, kurun kehidupanku adalah sekitar kurun ke 12. 10 abad aku terlepas ke zaman ini?

Aku hanya mampu berdoa, bahawa ini hanya mimpi semata-mata.

Zaman ini pelik. Tidak aman. Tidak tenteram. Masyarakatnya tidak mengamalkan perintah ALLAH SWT. Azan tidak disahut, solat tidak dilakukan. Tadi, ketika solat asar, maghrib dan isya’, tetap aku dan si bilal itu juga yang mengisi menghidupkan masjid. Adakah semua orang solat di rumah pada zaman ini?

Perempuan pula tidak terjaga. Sedangkan perempuan adalah makhluk yang termulia dalam kehidupanku dan amat-amat dijaga. Penjagaan kepada perempuanlah yang membuatkan ISLAM itu terjaga penerusannya, kerana perempuanlah yang akan mendidik anak-anak kami semua.

Pemberi ingatan pula dicaci dan dicederakan. Sedangkan pemberi ingatan itulah yang mengingatkan manusia yang lupa, dan sepatutnya pemberi ingatan itu dimuliakan.

Itu baru sahaja beberapa perkara luaran yang kulihat pada masyarakat ini. Belum lagi dari hal pemakanan, belum lagi dari hal pemerintahan, belum lagi dari hal jual beli dan pelbagai lagi urusan kehidupan.

Apa yang sudah terjadi dengan masyarakat pada zaman ini?

Adakah ini masa hadapan?

ISLAM kelihatan asing.

Adakah ini zaman yang Rasulullah SAW nyatakan,

“ ISLAM itu bermula dalam keadaan dagang, dan ia akan kembali dagang, maka bergembiralah mereka yang dagang(ketika dagangnya ISLAM kali kedua)”

Adakah ini yang dikatakan kedagangan ISLAM kali kedua?

ALLAH...

Pulangkanlah aku...

Ah.. aku terasa amat letih.

Perlahan-lahan mata kupejamkan.

“ Allahumma bismika ahya wa amut” Ya ALLAH, dengan namaMu aku hidup dan mati.

********

Aku membuka mata. Dingin 1/3 malam terakhir menyapa, menusuk hingga ke tulang sum-sum. Tilam empuk rumah Si Bilal telah tiada. Aku berada di atas tempat tidurku, sebelum aku pergi ke satu tempat aneh.

Aku mengucapkan tahmid berkali-kali.

Itu hanya mimpi, bukan persitiwa Ashabul Kahfi yang berulang pada diriku.

Aku bingkas bergerak ke luar rumah. Alhamdulillah, semuanya seperti biasa. Memang ini adalah tempat kehidupanku selama ini. Udara yang nyaman dan bersih tanpa pencemaran. Kelihatan rumah-rumah jiranku bercahaya pelita di tengah kegelapan, dan aku tahu mereka sedang bangun berqiamullail. Kedengaran pula bacaan-bacaan Al-Quran dari rumah-rumah itu. Semuanya sedang khusyuk beribadah.

Aku telah kembali. Hati menjadi lapang. Namun kelegaan itu tidak kekal, teringatkan abad ke 23 yang kusinggahi di dalam mimpi tadi, membuatkan aku tidak senang.

Pantas aku bergerak ke tempat mengambil wudhu’ di luar rumah, dan melaksanakan tuntutan sebelum solat itu. Kemudian aku bergerak ke dalam rumah, dan berdiri menghadap kiblat, tanpa memasang pelita terlebih dahulu.

Aku hendak bermunajat kepada ALLAH SWT, agar DIA menjaga ummat ini dengan mengekalkan di dalam ummat ini manusia-manusia seperti Si Bilal yang kutemui tadi. Dan moga-moga, manusia seperti itu tidak keseorangan menjadi ghuraba’ di masa hadapan.

Harapnya, akan wujud ramai lagi manusia yang soleh, yang akan menjaga deen ALLAH SWT ini, walau manusia sekelilingnya meninggalkan deen ini.

Takbir kuangkat.

ALLAHUAKBAR...

Solat tahajjud kumulakan.

Ya ALLAH, jagalah ummat ini!

http://langitillahi.blogspot.com/search/label/cerpen%20saya?max-results=20

0 comments: