2/12/2009

Fitrahkah Cinta??

Seni Kehidupan Dot Com

Cinta itu Sifat. Sifatnya Fitrah.

Ini bukan falsafah cinta. Ini juga bukan cinta biasa; Cinta antara dua manusia. Bukan juga cinta luarbiasa. Namun terhimpun apa yang terjeda di antara keduanya. Cinta fitrah manusia yang berasal dari natijah cinta kasih Allah. Rahmah RahimNya. Cinta fitrah yang tiada bahasa dan suara. Ianya sekadar ceritera sebuah cinta klasik himpunan rasa cinta dalam jiwa manusia. Sebuah kisah yang selalu dilupa-lupakan manusia. Bukan BERCINTA tetapi merasai cinta.

Cinta itu misteri.

Cinta itu unik.

Cinta itu ungkapan yang sering diluahkan di wajah dunia.

Cinta itu universal.

Cinta melepasi segala penaksiran dan penakulan.

Cinta merupakan naluri perasaan yang bersifat alami berada dalam sanubari insan anugerah Allah Pencipta cinta.

Cinta membatasi segala apa yang ada di sekeliling. Ibarat angin. Kita terasa lembut sapaannya, namun kita tidak melihatnya. Cinta alami. Tanpa berhajat kepada sesuatu dan mengharapkan balasan. Ibarat bayu. Kita merasa alurnya namun kita tidak mampu menyentuhnya.

Kita mungkin menyintai saudara satu darah bani Adam kita yang berada di benua yang berbeza tanpa pernah mengenalinya. Kita mungkin menyintai anak kecil yang menderita tanpa pernah melihatnya. Kita mungkin menyintai manusia bangsa lain atas dasar kemanusiaan tanpa mempunyai apa-apa kaitan dengannya. Kita mungkin menyintai saudara seagama tanpa pernah berbicara dengannya.

Mungkin juga kita merasa cernaan rasa cinta dalam jiwa dari Allah tanpa kita punya sesiapa untuk dicinta. Walaupun manusia itu hanya seorang ‘homeless people’ yang tinggal di kaki jalan, yang pakaiannya lusuh, jiwanya keras dan makanannya hanya lebihan.

Terutama kita menyintai Para Sahabat Baginda Nabi s.a.w yang mendengar nama mereka sahaja, meggetarkan dada.

Cinta Allah dan RasulNya? Tiada kalam.

Semuanya terbit dari jiwa yang menerima percikan sifat mulia; ar-Rahim Allah yang besifat tulus. Andai bebas dari tuntutan nafsu dan kepentingan peribadi merupakan sesuatu yang mahal harganya. Bebas dari nafsu yang bertentangan dengan aturan Allah, jua bisikan syaitan, tuntutan dunia dan tanpa mengharapkan balasan. Ianya terbit dari Allah dan mendiami jiwa tanpa perlu kepada sandaran. Mulianya perasaan fitrah itu apabila dkembali kan rasa itu kerana Allah dan untuk cinta Allah juga. Cinta Agung.

Pembebasan dari selainNya dengan menerima perasaan cinta fitrah kurniaan Allah kepada makhlukNya. Hanyasanya untuk memberi keamanan kepada rohani, ketenteraman kepada ruh dan kesejahteraan sesama insan. Cinta ia diam di situ. Di dalam hati. Tanpa perlu kepada selainnya. Suatu kurniaan yang bersifat alami. Cinta yang terbias melebihi dari zahir alam dan makna. Cinta yang asal dari Allah, Maha Kekal dan Kasih sifatnya.

Yang cintaNya andai dihimpun segala cinta di dunia tidak dapat dibandingkan sedikit pun.

Di ceduk dr blog k.sarah


0 comments: